Thursday, January 31, 2008

CABARAN NEGARA MEMUPUK PERPADUAN KAUM DISAMPING MEMBENTERAS KEMISKINAN TEGAR MENJELANG 2010


Hasrat dan impian kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di Negara ini merupakan suatu usaha yang perlu disokong. Langkah ini juga bersesuaian dengan hasrat Negara untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menjelang era 2020.

Hasrat ini telah dikemukan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 21 Mac lalu ketika mengadakan ‘Majlis Sepetang’ bersama Perdana Menteri anjuran MIC Wilayah Persekutuan di stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa tertinggi di peringkat Kabinet untuk menangani kemiskinan tegar di kalangan semua kaum di negara ini dengan mensasarkan menghapus sepenuhnya kemiskinan tersebut pada tahun 2010.

Usaha pembasmian ini seharusnya dilihat dari perspektif yang positif tanpa mengira ideolgi dan fahaman politik. Ini kerana usaha ini merupakan suatu instrument dan mekanisme yang komprehensif untuk memajukan taraf kehidupan masyarakat yang sememangnya akan mendatangkan kebaikan dan faedah kepada semua.

Tindakan memperkecil dan memperlekeh hasrat ini seharusnya dijauhi kerana ianya akan mendatangkan implikasi yang negatif seterusnya merencatkan usaha untuk mencapai sasaran tersebut.

Dalam pada itu, hasrat ini juga telah dikemukakan adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan semua kaum di Negara ini tanpa ada satu pun yang tercicir.

Ini kerana pelbagai dasar dan polisi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini adalah mencakupi kepentingan semua rakyat di Negara ini tanpa ada wujudnya perbezaan agama, bangsa dan keturunan.

Kita telah menyaksikan sejarah perjalanan urus tadbir negara yang bermula sebaik sahaja Negara mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Pelbagai tindakan dan pendekatan telah diambil untuk memajukan sektor ekonomi dan membangunkan masyarakat di Negara ini.

Antaranya pada peringkat permulaan, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua yang beroperasi pada tahun (1956-1960) (1960-1965).

Selepas Gagasan Malaysia ditubuhkan, Rancangan Malaysia Pertama telah dibentuk dan bergerak sehingga tahun 1970.

Pada tanggal 13 Mei 1969, negara telah dikejutkan dengan insiden rusuhan dan tragedi berdarah rentetan daripada berlakunya ketidakseimbangan kaum dalam kedudukan ekonomi. Justeru bagi menangani masalah ini, Allahyarham Tun Abdul Razak yang juga merupakan Perdana Menteri ketika itu telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beroperasi pada tahun 1971-1990.

Dasar ini merupakan Rangka Rancangan Jangka Panjang pertama negara (RRJP 1) dan berasaskan matlamat Pembangunan Negara dan Perpaduan iaitu melalui pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosiopolitik dan ekonomi setiap kaum. Penekanan dasar yang diutamakan adalah terhadap pembangunan dan kesaksamaan iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Pada tahun 1990, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) melalui RRJP 2 telah ditubuhkan berasaskan matlamat untuk membentuk sebuah negara maju dengan mengekalkan semangat DEB dan ciri-ciri sempurna yang lain. Penekanan dasar ini pula adalah melibatkan pembangunan seimbang terutama dalam aspek ekonomi dan sosial, negeri-negeri, bandar dan luar bandar serta pengagihan.

Seterusnya setelah berakhirnya perjalanan DPN pada tahun 2000, Dasar Wawasan Negara (DWN) melalui RRJP 3 telah dibentuk dan akan beroperasi sehingga tahun 2020. Dasar ini diperkenalkan adalah bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 menurut acuan sendiri.

Di samping itu, penekanan dasar yang ditumpukan adalah kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan iaitu peningkatan pertambahan dan pengeluaran, penekanan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan serta pengagihan pendapatan dan kekayaan.

Kesemua dasar dan polisi yang telah diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk membangunkan sector ekonomi dan taraf kehidupan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, tidak wujud unsur-unsur penindasan dan diskriminasi antara kaum apatah lagi pembersihan etnik sepertimana yang di dakwa oleh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Menurut presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar golongan yang menggunakan perkataan tersebut perlu benar-benar memahami konotasi dan tafsiran kepada perkataan itu yang mana pembersihan etnik itu dilakukan bagi memastikan sesuatu bangsa terus lenyap dari muka bumi. Contoh jelas adalah sepertimana yang dilakukan oleh tentera Serbia ke atas rakyat Bosnia Pembersihan etnik juga pernah berlaku di Rwanda oleh ekstremis suku Hutu ke atas suku Tutsi sekitar tahun 1990-an.

Selain itu, sejak tahun 1949, rejim komunis Cina telah merancang program penghapusan etnik Uighurs (Islam) melalui berbagai cara termasuklah dijadikan korban bahan uji kaji program nuklearnya. Tindakan ‘pembersihan etnik’ juga dilakukan zionis terhadap rakyat Palestine sehingga hari ini. Malah, sejarah kewujudan negara Amerika Syarikat dibina melalui tindakan ‘pembersihan etnik’ terhadap kaum Red Indian.

Di Malaysia, peristiwa sedemikian tidak pernah berlaku malah kerajaan sentiasa berlaku adil dan saksama kepada semua kaum. Sejak ratusan tahun orang melayu telah menerima dengan baik kehadiran masyarakat bukan Islam di negara ini.

‘Peleburan budaya’ kaum lain melalui dasar asimilisai juga tidak pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan situasi tersebut masih belum dapat dilihat berlaku di Malaysia khususnya ke atas kaum India .

Sementara itu, dakwaan mereka bahawa kaum India adalah kaum yang amat jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum Melayu dan Cina amat bertentangan dengan fakta.

Berdasarkan statistik ekonomi yang dikeluarkan pihak kerajaan, ianya jelas menunjukkan kaum India berada pada tahap yang baik malah lebih baik dari kaum Bumiputra. RMK-7 sendiri menunjukkan betapa pertumbuhan pesat pada beberapa tahun lalu telah menyebabkan bertambah besarnya jurang di antara kumpulan-kumpulan tertentu.

Berdasarkan kepada RMK-7, jurang di antara Bumiputra dengan kaum India telah meningkat daripada 1:1.29 dalam tahun 1990 kepada 1:1.35 dalam tahun 1995. Dalam masa yang sama, jurang antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina juga telah meningkat daripada 1:1.74 dalam tahun 1990 kepada 1:1.81 dalam tahun 1995.

Seterusnya, jurang di antara isi rumah desa yang majoritinya Bumiputra berbanding dengan isi rumah di bandar juga meningkat dari 1:1.7 dalam tahun 1990 kepada 1:2.0 dalam tahun 1995.

Sementara itu, berdasarkan statistik purata pendapatan isi rumah bulanan pada tahun 2004 juga jelas menunjukkan kaum India berada pada tahap yang lebih baik berbanding kaum Bumiputra. Statistik tersebut menunjukkan purata pendapatan bagi kaum Bumiputra berada di tangga tercorot dengan jumlah pendapatan sebanyak RM 2,711 berbanding kaum India yang memperlehi pendapatan sebanyak RM 3,456 dan Cina sebanyak RM 4,437.

Dalam pada itu, statistik peratus kemiskinan mengikut kaum yang dikeluarkan pihak kerajaan juga menunjukkan perkara yang sama.

Berdasarkan statistik 2004, peratus kemiskinan Bumiputra yang berdaftar berada pada tahap tertinggi dengan peratusan sebanyak 8.3% berbanding kaum India sebanyak 2.9% dan Cina sebanyak 0.6%.

Maka fakta ekonomi dari tahun 1990 sehingga kini menunjukkan bahawa paras ekonomi masyarakat India berada pada kedudukan yang semakin baik. Sebaliknya kaum Bumiputralah kaum yang paling jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Maka pada hakikatnya, mereka perlu bersyukur dan berterima kasih kepada nenek moyang mereka yang tegas untuk menjadi warga negara Malaysia, jika tidak agak mustahil kaum India di Malayisa dapat menikmati kesenangan hidup yang mereka perolehi sekarang di Malaysia.

Selain itu, sebarang usaha dan tidakan yang mahu ‘mensabotaj’ kententeraman dan perpaduan rakyat di Negara ini seharusnya dibendung segera. Ini kerana ianya merupakan parasit yang akan menjadi penghalang kepada kerajaan untuk membangunakan Negara khususnya dalam membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 sepertimana yang telah dinyatakan Perdana Menteri.

Memang tidak dinafikan, semua kaum di Negara ini akan mencuba sedaya upaya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan etnik mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan yang telah dikecapi Negara.

Walaubagaimanapun, ianya perlulah bersandarkan nilai-nilai dan etika yang betul dan tidak diselubungi dengan perasaan dan emosi semata-mata sehingga menimbulkan insiden yang tidak diingini. Keadaan ini tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa sebaliknya menambahkan lagi derita dan api perkauman yang akan merugikan masa depan Negara.

Namun, pada hakikatnya setiap masalah dan ‘ragam’ yang timbul merupakan cabaran yang harus ditempuh Negara dalam usaha memastikan hasrat ini benar-benar berjaya direalisasikan sepunhnya. Keberjayaan kita dalam menempuh setiap cabaran yang berlaku akan mengukuhkan lagi kekuatan kita untuk menempuh seribu satu cabaran dan tribulasi yang lebih getir pada masa akan datang.

Sesebuah Negara tidak akan mampu mencapai kejayaan dan kemajuan dengan sendirinya melainkan setelah mendepani pelbagai masalah, krisis dan cabaran yang besar.

Jepun sebagai contoh, setelah berhadapan dengan kegagalan dalam perang dunia kedua yang mengakibatkan kerugian yang begitu besar, namun ianya tidak sesekali mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan bangkit semula daripada kegagalan tersebut. Akhirnya, pada hari ini Jepun terkenal sebagai salah sebuah Negara kuasa ekonomi dunia.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah Negara yang sedang membangun, pelbagai mehnah dan cabaran yang berlaku pada hari ini seharusnya ditangani dengan bijak. Justeru, hasrat murni ini perlu digembling bersama tanpa mengira kaum demi kemakmuran Negara.

AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
PESURUHJAYA
PRO MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA

2 comments:

miera said...

assalammualaikum...
apa pendapat saudara tentang dasar kebudayaan kebangsaan dan cabarannya kepada perpaduan etnik.cabaran tuh ader terbahagi kepada berapa aspek..

Unknown said...

entahlah