Wednesday, January 2, 2008

Perutusan Tahun Baru 2008

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya jua, dapat kita dipertemukan dalam ruangan perutusan ini sempena menyambut kelahiran tahun baru 2008. Sekalung penghargaan diucapkan kepada bonda Naib Canselor, Datuk Rafiah Salim atas kejayaannya memartabatkan UM.

Tahun 2007 telah pun berlalu dan meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit kepada kita semua. Pelbagai peristiwa yang berlaku mematangkan lagi pemikiran kita dalam menongkah arus kehidupan yang lebih kompleks.

Negara pada hari ini patut berbangga atas kejayaannya merangkul pelbagai kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan. Antaranya pada tahun lalu, genaplah sudah nagara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara ke-50.

Selain itu, Negara telah mencatatkan keuntungan lebih besar dalam pasaran sektor ekonomi khususnya dalam bidang perladangan dengan termetrainya perjanjian penggabungan tiga syarikat gergasi tempatan iaitu syarikat Sime Darby, Golden Hope Plantation serta syarikat Guthrie

Dalam bidang sukan pula, Negara pada hari ini telah menempa nama di peringkat ASEAN dengan kecemerlangan atlit kebangsaan merangkul 68 pingat emas dalam Sukan Sea di Korat, Thailand tahun lalu. Pelbagai kenangan manis yang berjaya dicipta menambahkan lagi kebanggaan kita sebagai anak Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Walaubagaimanapun, pelbagai isu ‘panas’ yang menyentuh sensitiviti kaum di Negara ini seperti hak ketuanan Melayu, kontrak sosial, isu kerakyatan kaum pendatang serta hak keistimewaan orang Melayu tidak wajar dipermainkan demi mempertahankan perpaduan di kalangan rakyat di samping mengekalkan kestabilan politik tanah air.

Dalam pada itu, perjuangan aktivis di tanah air ini dalam menuntut kebebasan bersuara dan menolak sebarang unsur kongkongan kepada media merupakan titik permulaan perjuangan ke arah kewujudan negara yang lebih demokrasi. walaubagaimanapun, aktivis-aktivis ini juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menyuarakan pendapat supaya tidak mencetuskan kontroversi dan kekacauan di dalam negara.

Sebagai mahasiswa, kita seharusnya menyedari tanggungjawab yang perlu dimainkan sebagai pemimpin pada masa akan datang. Budaya ‘ulat buku’ dan membuang masa tidak mencerminkan budaya keintelektualan diri.

Sebaliknya mahasiswa perlu mengambil kesempatan yang ada untuk menggarap kepimpinan diri kerana di menara gadinglah merupakan medan terbaik untuk membentuk sosialisasi politik kita di samping berpotensi melahirkan pemimpin yang unggul serta mempunyai idealisme yang tinggi dalam mendokong revolusi perjuangan gerakan mahasiswa.

Dengan adanya idealisme yang tinggi di samping memiliki kepimpinan yang dinamik dan dominan dalam menggagaskan ‘suara rakyat’ berkeupayaan membentuk jati diri yang murni dalam usaha untuk menjadi generasi penerus kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Dalam hal ini PMIUM umpamanya telah melahirkan beberapa tokoh terkemuka kepada Negara sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang.

Antara tokoh-tokoh yang pernah menduduki kerusi ‘Presiden’ kepada persatuan tersebut sebelum terlibat secara aktif dalam pentas politik tanah air adalah seperti Senator Datuk Dr. Fuad Zarkashi (Ahli Dewan Negara / Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat) Datuk Dr. Siddiq Fadhil (Tokoh Akademik), Datuk Ahmad Shabery Chik (Setiusaha Parlimen Kementerian Luar / Ahli Parlimen Kemaman), Dato’ Paduka Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan / Naib Presiden PAS), Prof Dr. Redzuan Othman (Ahli Sejarah), Dato’ Dr. Ma’mor Osman (Presiden PPIM) dan sebagainya

Oleh yang demikian, dengan kedatangan tahun baru ini seharusnya memberikan semangat baru untuk mempertingkatkan azam dan cita-cita kita untuk lebih berjaya. Ini kerana mahasiswa merupakan golongan penentu kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Kecenderungan mahasiswa kini merupakan penanda aras jatuh bangunnya sesebuah Negara. Mahasiswa Bermaruah bermula dari anda! Laksanakanlah tugas dan tanggungjawab anda dengan penuh ikhlas demi Agama, Bangsa dan Negara. Selamat Tahun Baru diucapkan kepada semua rakyat Malaysia.

“Malaysiaku Gemilang”

AHMAD SHAHIR B ABDUL AZIZ
AHLI MAJLIS TERTINGGI
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA SESI 07/08

No comments: