Tuesday, January 15, 2008
MAHASISWA PERLU TURUN PADANG BANTU ATASI MASALAH JENAYAH
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes penculikan seorang kanak-kanak Sharlinie Mohd Nasyar pada 9 Januari lalu. Kes seumpama ini bukanlah merupakan kes pertama yang berlaku di negara ini, sebaliknya beberapa kes jenayah lain yang diperlakukan ke atas kanak-kanak sepertimana yang berlaku ke atas Nurin Jazlin sebelum ini amat membimbangkan.
Isu ini sangat menyayat hati dan perasaan kita sehingga mendapat respon yang baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak boleh dibayangkan bagaimana zalimnya golongan penjenayah sekarang sehingga sanggup menyakiti mereka yang tidak berdosa, apatah lagi bagi kanak-kanak yang masih mentah dan tidak tahu selok belok dunia kehidupan yang penuh mencabar.
Dalam pada itu, peningkatan kadar jenayah di negara ini amat membimbangkan. Beberapa kes pembunuhan seperti kes kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy pada 11 Januari lalu menguatkan lagi keyakinan kita mengenainya.
Dalam hal ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengakui bahawa kadar jenayah di seluruh negara menunjukkan aliran peningkatan. Perkembangan tersebut dimaklumkan pada sesi taklimat kepada Jawatankuasa Khas Integriti Parlimen yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Perancangan Strategi) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Datuk Nooryah Md Anvar dan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Jamaluddin Khalid.
Menurut pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, perkembangan tersebut membuktikan bahawa persepsi orang ramai berlaku peningkatan kadar jenayah di negara ini adalah benar meskipun ada kawasan tertentu yang didapati menurun.
Menurut beliau lagi, andaian bahawa jenayah di negara ini banyak membabitkan pendatang tanpa izin atau warga asing didapati tidak benar kerana rekod pasukan keselamatan itu mendapati sebanyak 80 peratus daripada kes jenayah yang berlaku adalah membabitkan penduduk tempatan.
Rentetan daripada itu, tindakan hanya menyalahkan pihak kerajaan dan anggota polis kerana gagal menyelesaikan isu ini adalah tidak wajar. Justeru, selaku pemimpin mahasiswa, saya ingin menyarankan kepada semua mahasiswa untuk sama-sama berganding bahu serta memberikan kerjasama yang terbaik kepada pihak berkuasa dalam membenteras jenayah di Negara ini.
Di samping itu, tindakan Pro Mahasiswa Universiti Malaya dan beberapa agensi kerajaan lain mengedar risalah dan poster kehilangan kanak-kanak yang bernama Sharlinei di sekitar Ibu Kota seharusnya dipuji.
Langkah ini juga wajar dicontohi oleh persatuan-persatuan lain sebagai usaha untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. Tindakan mementingkan diri sendiri serta tidak mengambil berat tentang masalah yang berlaku seharusnya dijauhi.
Ini kerana ianya amat bertentangan dengan prinsip dan norma-norma kehidupan masyarakat di Negara ini yang terkenal dengan budaya saling bantu membantu antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa, dan taraf kehidupan.
Dengan adanya sikap positif dan nilai-nilai murni seperti ini ianya akan menjamin kehidupan masyarakat yang lebih harmoni di samping berkeupayaan membendung masalah jenyah yang semakin menular di Negara ini.
"Memartabatkan Kedaulatan Mahasiswa"
AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
PESURUHJAYA
PRO MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment