Saturday, August 4, 2007

Kesedaran Politik Di Kalangan Rakyat Kurang

Setiap rakyat seharusnya menyedari tanggungjawab yang perlu dimainkan kepada Negara.

Tanggungjawab dan hak partisipasi yang diberikan kepada mereka untuk memilih kerajaan dalam tempoh setiap lima tahun melalui pengundian seharusnya digunakan sebaiknya sebagai bukti rasa tanggungjawab dan sayangkan Negara di samping meneruskan tradisi pemilihan pemimpin berpaksikan sistem demokrasi yang telah diamalkan hampir 50 tahun di Negara ini.

Walaubagaimanapun, kesedaran dan kefahaman sebilangan besar rakyat kita khususnya golongan muda mengenai tanggungjawab ini adalah kurang memuaskan berdasarkan statistik yang telah didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengarahnya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada bulan lalu ketika melancarkan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih Peringkat Negeri di Terengganu.

Menurut beliau, Sebanyak 4.82 juta daripada 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar dengan SPR. Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 700,000 orang diikuti Johor (600,000 orang), Sarawak (360,000 orang), Kuala Lumpur (300,000 orang), Kedah (285,000 orang), Kelantan (200,000 orang) dan Terengganu (75,000 orang).

Dalam pada itu, kuasa pemilihan kabinet dan pemimpin di peringkat menara gading sewajarnya mendapat perhatian dan diambil berat oleh para pelajar. Ini kerana menerusi pemilihan tersebut, para pelajar berkesempatan untuk membuat penilaian yang terbaik bagi memilih pemimpin yang benar-benar menjaga kebajikan mereka, bukannya yang diistilahkan sebagai ‘goyang kaki’ dan hanya menjaga kepentingan diri semata-mata.

Menerusi Pilihan Raya Kampus yang diadakan pada setiap tahun juga merupakan medan terbaik kepada para pelajar untuk membentuk sosialisasi politik mereka di samping berpotensi melahirkan pemimpin yang unggul serta mempunyai idealisme yang tinggi dalam mendokong aspirasi perjuangan mahasiswa.

Dengan adanya idealisme yang tinggi di samping memiliki kepimpinan yang dinamik dan dominan dalam menggagaskan ‘gagasan mahasiswa’ berkeupayaan membentuk jati diri yang murni dalam usaha untuk menjadi generasi penerus kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Kepimpinan yang berani serta jauh dari budaya ‘mengampu’ sememangnya menjadi ikon kepada semua pelajar. Antara tokoh-tokoh pemimpin yang lahir melalui gagasan dan medium ini ketika bergelar ‘mahasiswa’ ialah seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Datuk Dr. Fuad Zarkashi, Datuk Seri Annuar Musa, Datuk Dr. Siddiq Fadhil, Datuk Paduka Husam Musa, Datuk Ahmad Shabery Chik, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Abdul Aziz Shamsudin dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kesedaran mengenai kepentingan politik dan Pilihanraya sama ada diperingkat nasional mahupun kampus seharusnya dicungkil untuk melahirkan masyarakat yang peka dan sensitif dalam setiap isu dan masalah yang berlaku dalam dan luar Negara.

Masyarakat bermaruah bemula dari anda. Justeru, tunaikanlah tanggungjawab anda sebaiknya dengan memilih pucuk pimpinan yang benar-benar berkemampuan untuk membawa agenda perubahan dan pembangunan serta menjaga dan menitikberatkan keadilan sosial rakyat seluruhnya.

Gunakanlah ruang dan kesempatan yang ada dengan sebaiknya demi menjamin kewujudan masyarakat Malaysia yang adil, harmoni dan saksama. ‘Keranamu Malaysia ’


AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMBANGUNAN AKADEMIK & INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA (PMAPIUM)