Friday, January 11, 2008

PRO MAHASISWA BERJAYA MENGATASI MASALAH PENYINGKIRAN PELAJAR DI KOLEJ KEDIAMAN UM

Pro Mahasiswa Universiti Malaya hari ini melakar sejarah apabila berjaya mengatasi masalah pembuangan pelajar di kolej kediaman ke-11 pada 8 januari lalu. Kes yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dianggap selesai dengan persetujuan pihak kolej kediaman tersebut untuk mengambil semula mereka yang telah disingkirkan melalui suatu notis yang dikeluarkan.

Kejayaan ini merupakan hasil daripada tindakan pantas beberapa ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dari kem Pro Mahasiswa yang komited dalam menyelesaikan isu ini.

Isu ini bermula pada pertengahan November 2007 yang lalu apabila pihak kolej kediaman mengeluarkan notis senarai nama pelajar yang ‘berjaya’ untuk menginap di kolej tersebut pada semester ke-2. Walaubagaimanapun, masalah timbul apabila seramai 63 orang pelajar tidak mendapat tempat atas alasan yang tidak munasabah.

Ekoran daripada itu, demi mempertahankan hak dan kebajikan para pelajar, beberapa ahli MPMUM dari kem Pro Mahasiswa telah mengadakan perbincangan dua hala bersama pihak pentadbiran universiti. Selain itu, beberapa siri pertemuan juga telah diadakan bersama para pelajar berkenaan bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenai masalah yang sedang dihadapi.

Pada 19 November 2007, suatu surat bantahan telah dihantar oleh Ahli Majlis Tertinggi MPMUM, saudara Ahmad Shahir Bin Abdul Aziz kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azarae Haji Idris. Beliau yang juga merupakan Jurucakap Pro Mahasiswa Universiti Malaya menjelaskan, tindakan tersebut diambil bukanlah untuk menjatuhkan reputasi atau kredibiliti mana-mana pihak. Sebaliknya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab selaku pemimpin mahasiswa untuk membela nasib para pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan apa jua fahaman politik.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan ini menyemarakkan lagi semangat perjuangan anggota MPMUM dari kem Pro Mahasiswa untuk terus menabur bakti membela nasib dan kebajikan mahasiswa.

“ Kejayaan ini merupakan permulaan yang baik untuk kita terus berbakti bukan sahaja untuk mahasiswa bahkan untuk rakyat seluruhnya. Kita sedang berusaha membuat kajian terperinci mengenai masalah dan bebanan yang ditanggung oleh rakyat khususnya berkenaan kenaikan harga minyak yang melambung tinggi di pasaran antarabangsa sekarang.” tambahnya.

Sementara itu, menurut seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dari kem Pro Mahasiswa, saudara Mohd Hasbie B Muda, kejayaan Pro Mahasiswa khususnya yang dipelopori oleh saudara Shahir ini merupakan suatu petanda yang baik untuk melakar kejayaan yang lebih manis pada masa akan datang.

“Ini adalah tanda kemenangan moral perjuangan MPMUM khususnya saudara Shahir yang sanggup mengambil beberapa tindakan tidak popular, saya optimis , kita juga sedang bergerak kearah perpaduan bangsa yang sebenar” katanya.

No comments: