Thursday, January 31, 2008

CABARAN NEGARA MEMUPUK PERPADUAN KAUM DISAMPING MEMBENTERAS KEMISKINAN TEGAR MENJELANG 2010


Hasrat dan impian kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di Negara ini merupakan suatu usaha yang perlu disokong. Langkah ini juga bersesuaian dengan hasrat Negara untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menjelang era 2020.

Hasrat ini telah dikemukan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 21 Mac lalu ketika mengadakan ‘Majlis Sepetang’ bersama Perdana Menteri anjuran MIC Wilayah Persekutuan di stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa tertinggi di peringkat Kabinet untuk menangani kemiskinan tegar di kalangan semua kaum di negara ini dengan mensasarkan menghapus sepenuhnya kemiskinan tersebut pada tahun 2010.

Usaha pembasmian ini seharusnya dilihat dari perspektif yang positif tanpa mengira ideolgi dan fahaman politik. Ini kerana usaha ini merupakan suatu instrument dan mekanisme yang komprehensif untuk memajukan taraf kehidupan masyarakat yang sememangnya akan mendatangkan kebaikan dan faedah kepada semua.

Tindakan memperkecil dan memperlekeh hasrat ini seharusnya dijauhi kerana ianya akan mendatangkan implikasi yang negatif seterusnya merencatkan usaha untuk mencapai sasaran tersebut.

Dalam pada itu, hasrat ini juga telah dikemukakan adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan semua kaum di Negara ini tanpa ada satu pun yang tercicir.

Ini kerana pelbagai dasar dan polisi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini adalah mencakupi kepentingan semua rakyat di Negara ini tanpa ada wujudnya perbezaan agama, bangsa dan keturunan.

Kita telah menyaksikan sejarah perjalanan urus tadbir negara yang bermula sebaik sahaja Negara mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Pelbagai tindakan dan pendekatan telah diambil untuk memajukan sektor ekonomi dan membangunkan masyarakat di Negara ini.

Antaranya pada peringkat permulaan, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua yang beroperasi pada tahun (1956-1960) (1960-1965).

Selepas Gagasan Malaysia ditubuhkan, Rancangan Malaysia Pertama telah dibentuk dan bergerak sehingga tahun 1970.

Pada tanggal 13 Mei 1969, negara telah dikejutkan dengan insiden rusuhan dan tragedi berdarah rentetan daripada berlakunya ketidakseimbangan kaum dalam kedudukan ekonomi. Justeru bagi menangani masalah ini, Allahyarham Tun Abdul Razak yang juga merupakan Perdana Menteri ketika itu telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beroperasi pada tahun 1971-1990.

Dasar ini merupakan Rangka Rancangan Jangka Panjang pertama negara (RRJP 1) dan berasaskan matlamat Pembangunan Negara dan Perpaduan iaitu melalui pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosiopolitik dan ekonomi setiap kaum. Penekanan dasar yang diutamakan adalah terhadap pembangunan dan kesaksamaan iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Pada tahun 1990, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) melalui RRJP 2 telah ditubuhkan berasaskan matlamat untuk membentuk sebuah negara maju dengan mengekalkan semangat DEB dan ciri-ciri sempurna yang lain. Penekanan dasar ini pula adalah melibatkan pembangunan seimbang terutama dalam aspek ekonomi dan sosial, negeri-negeri, bandar dan luar bandar serta pengagihan.

Seterusnya setelah berakhirnya perjalanan DPN pada tahun 2000, Dasar Wawasan Negara (DWN) melalui RRJP 3 telah dibentuk dan akan beroperasi sehingga tahun 2020. Dasar ini diperkenalkan adalah bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 menurut acuan sendiri.

Di samping itu, penekanan dasar yang ditumpukan adalah kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan iaitu peningkatan pertambahan dan pengeluaran, penekanan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan serta pengagihan pendapatan dan kekayaan.

Kesemua dasar dan polisi yang telah diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk membangunkan sector ekonomi dan taraf kehidupan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, tidak wujud unsur-unsur penindasan dan diskriminasi antara kaum apatah lagi pembersihan etnik sepertimana yang di dakwa oleh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Menurut presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar golongan yang menggunakan perkataan tersebut perlu benar-benar memahami konotasi dan tafsiran kepada perkataan itu yang mana pembersihan etnik itu dilakukan bagi memastikan sesuatu bangsa terus lenyap dari muka bumi. Contoh jelas adalah sepertimana yang dilakukan oleh tentera Serbia ke atas rakyat Bosnia Pembersihan etnik juga pernah berlaku di Rwanda oleh ekstremis suku Hutu ke atas suku Tutsi sekitar tahun 1990-an.

Selain itu, sejak tahun 1949, rejim komunis Cina telah merancang program penghapusan etnik Uighurs (Islam) melalui berbagai cara termasuklah dijadikan korban bahan uji kaji program nuklearnya. Tindakan ‘pembersihan etnik’ juga dilakukan zionis terhadap rakyat Palestine sehingga hari ini. Malah, sejarah kewujudan negara Amerika Syarikat dibina melalui tindakan ‘pembersihan etnik’ terhadap kaum Red Indian.

Di Malaysia, peristiwa sedemikian tidak pernah berlaku malah kerajaan sentiasa berlaku adil dan saksama kepada semua kaum. Sejak ratusan tahun orang melayu telah menerima dengan baik kehadiran masyarakat bukan Islam di negara ini.

‘Peleburan budaya’ kaum lain melalui dasar asimilisai juga tidak pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan situasi tersebut masih belum dapat dilihat berlaku di Malaysia khususnya ke atas kaum India .

Sementara itu, dakwaan mereka bahawa kaum India adalah kaum yang amat jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum Melayu dan Cina amat bertentangan dengan fakta.

Berdasarkan statistik ekonomi yang dikeluarkan pihak kerajaan, ianya jelas menunjukkan kaum India berada pada tahap yang baik malah lebih baik dari kaum Bumiputra. RMK-7 sendiri menunjukkan betapa pertumbuhan pesat pada beberapa tahun lalu telah menyebabkan bertambah besarnya jurang di antara kumpulan-kumpulan tertentu.

Berdasarkan kepada RMK-7, jurang di antara Bumiputra dengan kaum India telah meningkat daripada 1:1.29 dalam tahun 1990 kepada 1:1.35 dalam tahun 1995. Dalam masa yang sama, jurang antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina juga telah meningkat daripada 1:1.74 dalam tahun 1990 kepada 1:1.81 dalam tahun 1995.

Seterusnya, jurang di antara isi rumah desa yang majoritinya Bumiputra berbanding dengan isi rumah di bandar juga meningkat dari 1:1.7 dalam tahun 1990 kepada 1:2.0 dalam tahun 1995.

Sementara itu, berdasarkan statistik purata pendapatan isi rumah bulanan pada tahun 2004 juga jelas menunjukkan kaum India berada pada tahap yang lebih baik berbanding kaum Bumiputra. Statistik tersebut menunjukkan purata pendapatan bagi kaum Bumiputra berada di tangga tercorot dengan jumlah pendapatan sebanyak RM 2,711 berbanding kaum India yang memperlehi pendapatan sebanyak RM 3,456 dan Cina sebanyak RM 4,437.

Dalam pada itu, statistik peratus kemiskinan mengikut kaum yang dikeluarkan pihak kerajaan juga menunjukkan perkara yang sama.

Berdasarkan statistik 2004, peratus kemiskinan Bumiputra yang berdaftar berada pada tahap tertinggi dengan peratusan sebanyak 8.3% berbanding kaum India sebanyak 2.9% dan Cina sebanyak 0.6%.

Maka fakta ekonomi dari tahun 1990 sehingga kini menunjukkan bahawa paras ekonomi masyarakat India berada pada kedudukan yang semakin baik. Sebaliknya kaum Bumiputralah kaum yang paling jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Maka pada hakikatnya, mereka perlu bersyukur dan berterima kasih kepada nenek moyang mereka yang tegas untuk menjadi warga negara Malaysia, jika tidak agak mustahil kaum India di Malayisa dapat menikmati kesenangan hidup yang mereka perolehi sekarang di Malaysia.

Selain itu, sebarang usaha dan tidakan yang mahu ‘mensabotaj’ kententeraman dan perpaduan rakyat di Negara ini seharusnya dibendung segera. Ini kerana ianya merupakan parasit yang akan menjadi penghalang kepada kerajaan untuk membangunakan Negara khususnya dalam membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 sepertimana yang telah dinyatakan Perdana Menteri.

Memang tidak dinafikan, semua kaum di Negara ini akan mencuba sedaya upaya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan etnik mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan yang telah dikecapi Negara.

Walaubagaimanapun, ianya perlulah bersandarkan nilai-nilai dan etika yang betul dan tidak diselubungi dengan perasaan dan emosi semata-mata sehingga menimbulkan insiden yang tidak diingini. Keadaan ini tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa sebaliknya menambahkan lagi derita dan api perkauman yang akan merugikan masa depan Negara.

Namun, pada hakikatnya setiap masalah dan ‘ragam’ yang timbul merupakan cabaran yang harus ditempuh Negara dalam usaha memastikan hasrat ini benar-benar berjaya direalisasikan sepunhnya. Keberjayaan kita dalam menempuh setiap cabaran yang berlaku akan mengukuhkan lagi kekuatan kita untuk menempuh seribu satu cabaran dan tribulasi yang lebih getir pada masa akan datang.

Sesebuah Negara tidak akan mampu mencapai kejayaan dan kemajuan dengan sendirinya melainkan setelah mendepani pelbagai masalah, krisis dan cabaran yang besar.

Jepun sebagai contoh, setelah berhadapan dengan kegagalan dalam perang dunia kedua yang mengakibatkan kerugian yang begitu besar, namun ianya tidak sesekali mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan bangkit semula daripada kegagalan tersebut. Akhirnya, pada hari ini Jepun terkenal sebagai salah sebuah Negara kuasa ekonomi dunia.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah Negara yang sedang membangun, pelbagai mehnah dan cabaran yang berlaku pada hari ini seharusnya ditangani dengan bijak. Justeru, hasrat murni ini perlu digembling bersama tanpa mengira kaum demi kemakmuran Negara.

AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
PESURUHJAYA
PRO MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA

Tuesday, January 15, 2008

MAHASISWA PERLU TURUN PADANG BANTU ATASI MASALAH JENAYAH



Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes penculikan seorang kanak-kanak Sharlinie Mohd Nasyar pada 9 Januari lalu. Kes seumpama ini bukanlah merupakan kes pertama yang berlaku di negara ini, sebaliknya beberapa kes jenayah lain yang diperlakukan ke atas kanak-kanak sepertimana yang berlaku ke atas Nurin Jazlin sebelum ini amat membimbangkan.

Isu ini sangat menyayat hati dan perasaan kita sehingga mendapat respon yang baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak boleh dibayangkan bagaimana zalimnya golongan penjenayah sekarang sehingga sanggup menyakiti mereka yang tidak berdosa, apatah lagi bagi kanak-kanak yang masih mentah dan tidak tahu selok belok dunia kehidupan yang penuh mencabar.

Dalam pada itu, peningkatan kadar jenayah di negara ini amat membimbangkan. Beberapa kes pembunuhan seperti kes kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy pada 11 Januari lalu menguatkan lagi keyakinan kita mengenainya.

Dalam hal ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengakui bahawa kadar jenayah di seluruh negara menunjukkan aliran peningkatan. Perkembangan tersebut dimaklumkan pada sesi taklimat kepada Jawatankuasa Khas Integriti Parlimen yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Perancangan Strategi) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Datuk Nooryah Md Anvar dan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Jamaluddin Khalid.


Menurut pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, perkembangan tersebut membuktikan bahawa persepsi orang ramai berlaku peningkatan kadar jenayah di negara ini adalah benar meskipun ada kawasan tertentu yang didapati menurun.

Menurut beliau lagi, andaian bahawa jenayah di negara ini banyak membabitkan pendatang tanpa izin atau warga asing didapati tidak benar kerana rekod pasukan keselamatan itu mendapati sebanyak 80 peratus daripada kes jenayah yang berlaku adalah membabitkan penduduk tempatan.

Rentetan daripada itu, tindakan hanya menyalahkan pihak kerajaan dan anggota polis kerana gagal menyelesaikan isu ini adalah tidak wajar. Justeru, selaku pemimpin mahasiswa, saya ingin menyarankan kepada semua mahasiswa untuk sama-sama berganding bahu serta memberikan kerjasama yang terbaik kepada pihak berkuasa dalam membenteras jenayah di Negara ini.

Di samping itu, tindakan Pro Mahasiswa Universiti Malaya dan beberapa agensi kerajaan lain mengedar risalah dan poster kehilangan kanak-kanak yang bernama Sharlinei di sekitar Ibu Kota seharusnya dipuji.

Langkah ini juga wajar dicontohi oleh persatuan-persatuan lain sebagai usaha untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. Tindakan mementingkan diri sendiri serta tidak mengambil berat tentang masalah yang berlaku seharusnya dijauhi.

Ini kerana ianya amat bertentangan dengan prinsip dan norma-norma kehidupan masyarakat di Negara ini yang terkenal dengan budaya saling bantu membantu antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa, dan taraf kehidupan.

Dengan adanya sikap positif dan nilai-nilai murni seperti ini ianya akan menjamin kehidupan masyarakat yang lebih harmoni di samping berkeupayaan membendung masalah jenyah yang semakin menular di Negara ini.

"Memartabatkan Kedaulatan Mahasiswa"

AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ

PESURUHJAYA
PRO MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA

Friday, January 11, 2008

PRO MAHASISWA BERJAYA MENGATASI MASALAH PENYINGKIRAN PELAJAR DI KOLEJ KEDIAMAN UM

Pro Mahasiswa Universiti Malaya hari ini melakar sejarah apabila berjaya mengatasi masalah pembuangan pelajar di kolej kediaman ke-11 pada 8 januari lalu. Kes yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dianggap selesai dengan persetujuan pihak kolej kediaman tersebut untuk mengambil semula mereka yang telah disingkirkan melalui suatu notis yang dikeluarkan.

Kejayaan ini merupakan hasil daripada tindakan pantas beberapa ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dari kem Pro Mahasiswa yang komited dalam menyelesaikan isu ini.

Isu ini bermula pada pertengahan November 2007 yang lalu apabila pihak kolej kediaman mengeluarkan notis senarai nama pelajar yang ‘berjaya’ untuk menginap di kolej tersebut pada semester ke-2. Walaubagaimanapun, masalah timbul apabila seramai 63 orang pelajar tidak mendapat tempat atas alasan yang tidak munasabah.

Ekoran daripada itu, demi mempertahankan hak dan kebajikan para pelajar, beberapa ahli MPMUM dari kem Pro Mahasiswa telah mengadakan perbincangan dua hala bersama pihak pentadbiran universiti. Selain itu, beberapa siri pertemuan juga telah diadakan bersama para pelajar berkenaan bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenai masalah yang sedang dihadapi.

Pada 19 November 2007, suatu surat bantahan telah dihantar oleh Ahli Majlis Tertinggi MPMUM, saudara Ahmad Shahir Bin Abdul Aziz kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azarae Haji Idris. Beliau yang juga merupakan Jurucakap Pro Mahasiswa Universiti Malaya menjelaskan, tindakan tersebut diambil bukanlah untuk menjatuhkan reputasi atau kredibiliti mana-mana pihak. Sebaliknya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab selaku pemimpin mahasiswa untuk membela nasib para pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan apa jua fahaman politik.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan ini menyemarakkan lagi semangat perjuangan anggota MPMUM dari kem Pro Mahasiswa untuk terus menabur bakti membela nasib dan kebajikan mahasiswa.

“ Kejayaan ini merupakan permulaan yang baik untuk kita terus berbakti bukan sahaja untuk mahasiswa bahkan untuk rakyat seluruhnya. Kita sedang berusaha membuat kajian terperinci mengenai masalah dan bebanan yang ditanggung oleh rakyat khususnya berkenaan kenaikan harga minyak yang melambung tinggi di pasaran antarabangsa sekarang.” tambahnya.

Sementara itu, menurut seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dari kem Pro Mahasiswa, saudara Mohd Hasbie B Muda, kejayaan Pro Mahasiswa khususnya yang dipelopori oleh saudara Shahir ini merupakan suatu petanda yang baik untuk melakar kejayaan yang lebih manis pada masa akan datang.

“Ini adalah tanda kemenangan moral perjuangan MPMUM khususnya saudara Shahir yang sanggup mengambil beberapa tindakan tidak popular, saya optimis , kita juga sedang bergerak kearah perpaduan bangsa yang sebenar” katanya.

Thursday, January 3, 2008

Isu Penyingkiran pelajar tahun 1 di kolej kediaman ke-11: "Saya Jamin Anda Selamat"

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penyingkiran para pelajar tahun pertama di kolej kediaman ke 11. Lebih menyedihkan, penyingkiran mereka merupakan suatu tidakan yang diambil tanpa pengetahuan pihak bonda Naib Censelor mahupun ayahanda Timbalan Naib Caselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni.

Jesteru, berdasarkan tindakan pantas serta beberapa mesyuarat yang dijalankan bersama pihak pentadbiran universiti, saya dan rakan-rakan di dalam MPMUM yang lain memberikan jaminan kepada semua para pelajar tahun pertama yang telah disingkirkan daripada kolej kediaman tersebut bahawa anda mempunyai hak untuk menginap di kolej kediaman tersebut selama setahun. Berdasarkan kes ini, saya nyatakan bersama kronologi isu berkenaan bermula dari awal.

16-19 November

Mengadakan pertemuan bersama penegetua, Dr. Abdul Jalil Othman sebaik sahaja senarai nama dikeluarkan oleh pihak pentadbiran kolej untuk berbincang mengenai tindakan kolej kediaman menyingkirkan mereka tanpa alasan yang kukuh. Mengadakan beberapa siri pertemuan bersama para pelajar yang dinafikan hak mereka sebagai usaha menyelesaikan masalah terbabit.

19 November 2007

Sebagai salah seorang daripada Ahli Majlis Tertinggi MPMUM, saya telah menghantar suatu surat bantahan kepada Ayahanda Timbalan Naib Caselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ,Prof. Madya Dr. Azarae Haji Idris memohon agar para pelajar tahun pertama ini diberikan hak untuk menginap selama setahun di kolej kediaman tersebut.

20 November 2007

Menghantar surat bantahan yang sama kepada ayahanda Timbalan Naib Canselor Akademik & Pengantarabangsaan berhubung isu yang sama. Ini kerana tindakan penyingkiran terbabit akan menjejaskan reputasi akademik para pelajar berkenaan disebabkan tekanan dan masalah tersebut. Surat bantahan yang sama juga telah dihantar oleh NYDP 1 yang juga Pengerusi HEWA, saudari Kyairiah Samsuddin berhubung isu yang sama.

20-23 November 2007

Mengadakan pertemuan bersama Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Puan Rosnah membincangkan isu yang sama supaya tindakan segera diambil.

24 Disember

Membangkitkan isu yang sama ketika mesyuarat MPMUM bersama ayahanda TNC HEPA yang bermula pada pukul 1.30 petang. Para pelajar tahun pertama yang disingkirkan tersebut adalah terdiri daripada pelajar Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Undang-undang.

26 Disember 2007

Pertemuan MT MPMUM bersama ayahanda pengetua untuk menyeleasikan masalah tersebut

31 Disember 2007

Jaminan pihak kolej kediaman kepada para pelajar tahun 1 untuk menginap semula disampaikan kepada Exco MPMUM yang juga wakil Fakulti Undang-undang, Saudara Gary.


AHMAD SHAHIR B ABDUL AZIZ
AHLI MAJLIS TERTINGGI MPMUM / KETUA UNIT PENYELIDIKAN PMIUM

www.mahasiswakini.blogspot.com

Wednesday, January 2, 2008

Perutusan Tahun Baru 2008

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya jua, dapat kita dipertemukan dalam ruangan perutusan ini sempena menyambut kelahiran tahun baru 2008. Sekalung penghargaan diucapkan kepada bonda Naib Canselor, Datuk Rafiah Salim atas kejayaannya memartabatkan UM.

Tahun 2007 telah pun berlalu dan meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit kepada kita semua. Pelbagai peristiwa yang berlaku mematangkan lagi pemikiran kita dalam menongkah arus kehidupan yang lebih kompleks.

Negara pada hari ini patut berbangga atas kejayaannya merangkul pelbagai kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan. Antaranya pada tahun lalu, genaplah sudah nagara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara ke-50.

Selain itu, Negara telah mencatatkan keuntungan lebih besar dalam pasaran sektor ekonomi khususnya dalam bidang perladangan dengan termetrainya perjanjian penggabungan tiga syarikat gergasi tempatan iaitu syarikat Sime Darby, Golden Hope Plantation serta syarikat Guthrie

Dalam bidang sukan pula, Negara pada hari ini telah menempa nama di peringkat ASEAN dengan kecemerlangan atlit kebangsaan merangkul 68 pingat emas dalam Sukan Sea di Korat, Thailand tahun lalu. Pelbagai kenangan manis yang berjaya dicipta menambahkan lagi kebanggaan kita sebagai anak Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Walaubagaimanapun, pelbagai isu ‘panas’ yang menyentuh sensitiviti kaum di Negara ini seperti hak ketuanan Melayu, kontrak sosial, isu kerakyatan kaum pendatang serta hak keistimewaan orang Melayu tidak wajar dipermainkan demi mempertahankan perpaduan di kalangan rakyat di samping mengekalkan kestabilan politik tanah air.

Dalam pada itu, perjuangan aktivis di tanah air ini dalam menuntut kebebasan bersuara dan menolak sebarang unsur kongkongan kepada media merupakan titik permulaan perjuangan ke arah kewujudan negara yang lebih demokrasi. walaubagaimanapun, aktivis-aktivis ini juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menyuarakan pendapat supaya tidak mencetuskan kontroversi dan kekacauan di dalam negara.

Sebagai mahasiswa, kita seharusnya menyedari tanggungjawab yang perlu dimainkan sebagai pemimpin pada masa akan datang. Budaya ‘ulat buku’ dan membuang masa tidak mencerminkan budaya keintelektualan diri.

Sebaliknya mahasiswa perlu mengambil kesempatan yang ada untuk menggarap kepimpinan diri kerana di menara gadinglah merupakan medan terbaik untuk membentuk sosialisasi politik kita di samping berpotensi melahirkan pemimpin yang unggul serta mempunyai idealisme yang tinggi dalam mendokong revolusi perjuangan gerakan mahasiswa.

Dengan adanya idealisme yang tinggi di samping memiliki kepimpinan yang dinamik dan dominan dalam menggagaskan ‘suara rakyat’ berkeupayaan membentuk jati diri yang murni dalam usaha untuk menjadi generasi penerus kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Dalam hal ini PMIUM umpamanya telah melahirkan beberapa tokoh terkemuka kepada Negara sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang.

Antara tokoh-tokoh yang pernah menduduki kerusi ‘Presiden’ kepada persatuan tersebut sebelum terlibat secara aktif dalam pentas politik tanah air adalah seperti Senator Datuk Dr. Fuad Zarkashi (Ahli Dewan Negara / Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat) Datuk Dr. Siddiq Fadhil (Tokoh Akademik), Datuk Ahmad Shabery Chik (Setiusaha Parlimen Kementerian Luar / Ahli Parlimen Kemaman), Dato’ Paduka Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan / Naib Presiden PAS), Prof Dr. Redzuan Othman (Ahli Sejarah), Dato’ Dr. Ma’mor Osman (Presiden PPIM) dan sebagainya

Oleh yang demikian, dengan kedatangan tahun baru ini seharusnya memberikan semangat baru untuk mempertingkatkan azam dan cita-cita kita untuk lebih berjaya. Ini kerana mahasiswa merupakan golongan penentu kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Kecenderungan mahasiswa kini merupakan penanda aras jatuh bangunnya sesebuah Negara. Mahasiswa Bermaruah bermula dari anda! Laksanakanlah tugas dan tanggungjawab anda dengan penuh ikhlas demi Agama, Bangsa dan Negara. Selamat Tahun Baru diucapkan kepada semua rakyat Malaysia.

“Malaysiaku Gemilang”

AHMAD SHAHIR B ABDUL AZIZ
AHLI MAJLIS TERTINGGI
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA SESI 07/08