Friday, February 29, 2008

TIGA FAKTOR PENENTU KELICINAN PROSES PILIHANRAYA UMUM DI MALAYSIA


Oleh: Ahmad Shahir Abdul Aziz

Bahang pilihanraya umum sudah pun mula dirasakan. Pelbagai spekulasi dan andaian mengenai keputusannya di beberapa buah negeri dan kawasan tertentu turut tidak terlepas untuk diperkatakan orang ramai sama ada di kedai kopi, pejabat atau di mana sahaja.

Namun, apa yang pasti tanggal 8 Mac ini merupakan tarikh penentu dan amat dinanti-nantikan oleh semua pihak terutamanya bagi mereka yang bakal bertanding merebut gelaran ‘Yang Berhormat’ di kawasan masing-masing sama ada di pihak kerajaan kerajaan mahu pun pembangkang.

Persedian setiap parti politik juga tidak kurang hebatnya, malah ada yang telah membuka bilik gerakan jentera masing-masing di beberapa kawasan ‘panas’ sejak beberapa bulan lalu.

Situasi dan keadaan yang berlaku mencerminkan suasana demokrasi yang wujud di Negara ini. Setiap rakyat bebas untuk memilih calon dan parti ‘favorite’ masing-masing malah berpeluang untuk bertanding untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Walaubagaimanapun, dalam konteks pilihanraya umum ini terdapat tiga faktor atau elemen yang paling penting dalam memastikan proses pilihanraya berjalan lancar disamping menjamin ketenteraman awam terus terpelihara khususnya ketika dan selepas pilihanraya dijalankan.

Ketiga-tiga faktor berkenaan adalah suruhanjaya pilihanraya yang mengendalikan proses pilihanraya, parti politik yang bertanding dan para penyokong dan pendokong parti dan calon masing-masing.

Ketiga-tiga elemen inilah yang memainkan peranan yang penting bagi memastikan proses pilihanraya yang bermula dari pembubaran parlimen sehingga kepada hari pengundian berjalan lancar. Di samping itu peranan yang sama juga perlu dimainkan untuk memastikan tidak berlakunya kekacauan dan keganasan selepas pilihanraya sepertimana yang berlaku di beberapa Negara luar seperti di Algeria dan Kenya.

Konflik di Kenya umpamanya bermula apabila pemimpin pembangkang, Raila Odinga mendakwa bahawa parti pemerintah yang dipimpin oleh Presiden Mwai Kibaki telah berpakat dengan suruhanjaya pilihanraya untuk mengatur keputusan pilihanraya umum Negara tersebut pada 27 Disember lalu dan berita mengenai pemilihan semula presiden itu telah mencetuskan rusuhan yang besar di seluruh Negara.

Kekacauan dan ketegangan menjadi bertambah buruk sehingga mencetuskan pertempuran etnik yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1000 orang maut dan hampir 300,000 yang lain menjadi pelarian.

Dalam pilihanraya tersebut, Gerakan Demokratik Oren (ODM) yang dipimpin Ordinga memperoleh 99 daripada 222 kerusi parlimen berbanding parti pemerintah hanya meraih 43 kerusi. Kelebihan tersebut membolehkan parti pembangkang meraih kemenagan di parlimen pada 16 Januari lalu apabila calon mereka dipilih sebagai speaker dewan parlimen.

Walaubagaimanapun, para penyokong Ordinga tetap bertekad untuk meneruskan protes sehingga kibaki mengakui bahawa pemilihan semula beliau pada pilihanraya lepas dicemari penipuan dan mahu beliau berundur secara terhormat.

Rentetan daripada itu, berlakulah rusuhan dan tunjuk perasaan yang dilancarkan penyokong pembangkang di Nairobi dan beberapa Bandar lain seperti Mombasa, Kibera, dan Kisamu sehingga memaksa pasukan keselamatan menyuraikan gerombolan pemuda yang bertindak liar dengan tembakan meriam air, gas pemedih mata dan peluru hidup.

Dalam perkembangan yang sama, masyarakat antarabangsa turut menggesa supaya keadaan dipulihkan di Negara tersebut yang sebelum ini terkenal dengan amalan demokrasi dan dasar keamanan di afrika walaupun usaha kesatuan Afrika (AU) yang diketuai oleh John Kufuor dalam merundingkan perdamaian antara kedua-dua seteru itu menemui kegagalan.

Namun, menurut mantan Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan beliau optimis rundingan damai mampu dilaksanakan dan mahu ianya dijalankan segera kerana insiden terbabit merupakan insiden yang paling buruk di negara tersebut sejak 44 tahun yang lalu.

Walaubagaimanapun, usaha damai ini hanya mampu dilaksanakan sekiranya ketiga-tiga faktor dan elemen yang disebutkan tadi bersedia bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk mengembalikan semula keamanan di Negara tersebut.

Oleh yang demikian, apa yang berlaku di Negara luar seharusnya diambil pengajaran dan iktibar. Dalam konteks Negara kita pula, semua pihak khususnya parti politik yang bertanding seharusnya mengutamakan pendekatan memelihara keamanan, ketelusan dan kestabilan politik Negara berbanding kepentingan peribadi.


Selain itu, prinsip Rukun Negara dan semangat perpaduan yang lebih erat juga seharusnya dipegang dan dititikberatkan khusunya semasa kempen pilihanraya. Sekiranya setiap pendekatan ini diambil kira, segala kesulitan dan kekusutan yang berlaku berkemampuan untuk dicegah daripada awal sebelum menjadi insiden yang lebih buruk dan parah kepada Negara.

Sekiranya kita mengamati semula sejarah Negara, kita telah menyaksikan bagaimana insiden yang sama turut pernah berlaku pada suatu ketika dahulu menjelang pilihanraya umum ke-4 yang berlangsung pada 10 Mei 1969 yang lalu. Insiden ini telah berlarutan sehingga tercetusnya rusuhan dan ketegangan kaum pada 13 Mei 1969 yang menyebabkan beribu-ribu orang terkorban.

Justeru, bagi membendung masalah ini daripada berulang semula, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memastikan insiden yang sama tidak akan berulang lagi. Masih belum terlewat sekiranya langkah pencegahan diambil daripada awal untuk memastikan keamanan dan ketenteraman Negara terus terpelihara sebelum, ketika dan selepas pilihanraya umum dijalankan.

Janganlah disebabkan terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup menggadaikan prinsip mengutamakan keadilan, ketelusan serta memelihara keharmonian negara. Semua pihak khususnya calon dan parti politik yang bertanding mempunyai 'kuasa' yang besar dalam menentukan hala tuju perjalanan pilihanraya.

Gunakan kesempatan yang ada sebagai peluang untuk memenuhi tuntutan demokrasi negara sebaliknya elakkanlah sebarang provokasi dan konfrontasi yang boleh membawa kepada kegansan dan rusuhan di negara ini. Selamat Mengundi dan Selamat Berpilihanraya!!!

AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
JURUCAKAP
PRO MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA

1 comment:

exxelyx said...

Pihak yang menjamin keselamatan juga perlu diambilkira bagi melicinkan proses pihanraya. Polis, FRU, JPA3 dll...

www.syafiqe.wordpress.com