Monday, February 11, 2008

PENARIKAN SEMULA LARANGAN BERTUDUNG LAMBANG KESUBURAN DEMOKRASI DAN KEBEBASAN BERAGAMA DI TURKI

Oleh : AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ

Pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh Parlimen Turki untuk menarik semula larangan pemakaian tudung di kalangan penuntut universiti dilihat sebagai suatu usaha untuk memulihkan semula demokrasi dan kebebasan mengamalkan agama di negara tersebut.

Pindaan perlembagaan tersebut Berjaya diluluskan apabila seramai 411 ahli parlimen turki menyokong usul terbabit berbanding 103 yang lain menentang.

Meskipun pindaan tersebut membangkitkan kemarahan rakyat yang berfahaman sekular, namun ianya perlu dilihat dari sudut keadilan dan saksama kepada semua lapisan masyarakat. Sekiranya para penuntut universiti dibenarkan memakai skirt dan pelbagai pakaian seksi yang lain, mengapa hak yang sama tidak diberikan kepada mereka yang mahu bertudung?

Persoalan inilah yang perlu dijawab oleh golongan sekular di negara terbabit. Keseimbangan dan kesaksamaan seharusnya diberikan kepada semua laisan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan apa jua latar kehidupan.


Suasana di Parlimen Turki ketika 411 menyokong dasar pemakaian tudung.

Isu penarikan semula larangan bertudung ini sebenarnya sudah lama dibangkitkan oleh Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogen melalui kenyataannya pada penghujung Ogos 2007 yang lalu. Namun ianya mendapat bantahan hebat daripada aktivis sekular kerana mendakwa ianya akan mengakibatkan pengaruh institusi sekular di negara tersebut semakin terhakis dan lenyap.

Pengharaman bertudung di kampus pada hakikatnya telah dikuatkuasakan lebih 20 tahun lalu sejurus rampasan kuasa oleh pihak tentera pada awal 1980-an. Menurut tentera, tujuannya adalah untuk menyekat kebangkitan gerakan Islam yang mengancam dasar sekularisme Turki warisan Mustaffa Kamal Atarturk.

Dalam pada itu, kenyataan Ketua Jabatan Sosiologi Universiti Bahacesehir, Profesor Nilufer Narli yang mendakwa bahawa ”pemakaian tudung di universiti dan sektor awam adalah satu simbol politik” merupakan kenyataan yang sangat tidak wajar. Beliau yang juga merupakan antara ribuan warga Turki yang membantah pencalonan awal Abdullah Gul sebagai Presiden pada Mei lalu sepatutnya membandingkan isu ini dengan negara luar yang mengamalkan polisi kebebasan bergama seperti di Amerika Syarikat.

Di Amarika Syarikat dan Britain sebagai contoh, walaupun majoriti rakyatnya bukan terdiri dari mereka yang memeluk agama Islam namun kebebasan untuk memakai tudung dan hijab merupaka hak asasi individu yang tetap diberikan oleh negara terbabit.

Hal ini berbeza dengan negara Turki yang mempunyai populasi penduduk Islam yang lebih ramai berbanding penganut agama lain. Malah menurut kajian dan tinjauan yang telah dibuat oleh Yayasan Pengajian Ekonomi dan Sosial Turki menunjukkan sekitar 62 peratus atau dua bagi setiap tiga wanita di Turki memakai tudung saban hari. Hal ini menguatkan lagi bukti dan hujah bagi menunjukkan fakta yang dikemukan oleh golongan sekular selama ini adalah bercanggah dengan realiti semasa di negara tersebut.

Justeru, pada hemat saya, pindaan perlembagaan untuk membenarkan semula wanita memakai tudung khususnya di universiti sewajarnya dilakukan. Ianya juga sebagai suatu usaha untuk mengharmonikan semua agama dan budaya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan kepada semua warganya. Pindaan ini juga sepatutnya tidak dilihat dari aspek negatif dan prajudis semata-mata, sebaliknya ianya perlu dipandang dari kaca mata positif demi memelihara hak asasi setiap individu dan rakyat tanpa mengira agama di negara dua benua tersebut.

No comments: