Tuesday, April 29, 2008
MAY DAY: HARI YANG SAMA, SAMBUTAN BERLAINAN
Selang beberapa jam, kita akan menyambut Hari Buruh atau lebih dikenali sebagai May Day pada suatu ketika dahulu. Upacara tahunan yang menjadi sambutan kebiasaan oleh masyarakat di seluruh dunia.
Namun, sambutannya kini cukup berbeza jika dibandingan dengan suatu ketika dahulu. Maklumlah keadaan sekarang cukup tenang dan selesa. Semuanya telah tersedia ada dan hampir semua tuntutan Quepecs kepada kerajaan baru-baru ini dilayan, khususnya selepas berlakunya kemerosotan sokongan rakyat kepada kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.
Kesannya, golongan pekerja dan buruh tidak mendapat gambaran sebenar mengenai sambutan May Day tersebut bahkan tidak tahu langsung tentang kepentingan hari tersebut disambut pada setiap 1 Mei.
Saya lebih gemar untuk menyingkap sejarah yang lalu untuk dijadikan rujukan pada masa kini. Dengan penghayatan dan pengetahuan yang mendalam mengenai sejarah sebenarnya berkeupayaan mengelakkan kita daripada terjatuh dua kali (bahkan berkali-kali) dalam satu lubang yang sama.
Berbalik kepada perbicaraan kita yang asal mengenai sambutan May Day ini, kita dapati corak sambutannya kini cukup jauh berbeza. Suatu ketika dahulu May Day atau May The First ini disambut dengan perarakan dan demonstrasi besar-besaran beserta laungan dan teriakan mengecam majikan Inggeris yang merompak kekayaan negara daripada penduduk peribumi.
Antara slogan-slogan yang popular yang menjadi tema perhimpunan raksasa pada ketika itu ialah "Imperialist is a blood sucker" dan "Imperialist tyranises people". Beberapa siri perhimpunan yang dianjurkan pada kebiasaannya diketuai oleh Abdullah C.D yang merupakan Ketua Seksi (ketua seksyen) Buruh, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan dibantu oleh Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Wahi Anuar yang pada itu memimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) sebelum menubuhkan pula Pencita Tanah Air (PETA)beberapa tahun selepas API diharamkan oleh pihak Inggeris.
Pertubuhan Buruh pada ketika itu bukan calang-calang. Demi melihat negara ini mencapai kemerdekaan dan kebebasan, pelbagai usaha dan pengorbanan sanggup ditabur tanpa rasa gentar dan gusar. PKMM juga telah bergabung dengan pertubuhan buruh antara kaum yang dikenali sebagai Pan Malayan Federation Of Trade Union (PMFTU).Lagu Darah Rakyat yang menjadi tema pertubuhan sering dialunkan untuk menaikkan semangat keberanian menentang penjajah Inggeris yang maha rakus merompak hasil bumi rakyat tempatan.
Dalam pada itu, hubungan secara langsung turut dijalinkan dengan pertubuhan buruh berhaluan kiri antarabangsa seperti World Federation Of Trade Union (WFTU) yang beribu pejabat di Paris, Perancis.
Begitulah sedikit sebanyak latar belakang menganai sejarah sambutan May Day pada suatu ketika dahulu. Sambutan Hari Buruh ini telah memainkan peranan yang cukup besar dalam usaha menuntut kemerdekaan negara di samping menghalau penjajah Inggeris daripada Tanah Melayu.
Persoalannya, di manakah kesedaran kita menganai peranan sebenar yang patut dimainkan sempena tanggal 1 Mei yang disambut pada setiap tahun? Adakah cukup sekadar tanggal yang berharga ini dianggap sebagai cuti umum semata-mata?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment