Monday, November 26, 2007

Perhimpunan Aman Rakyat 'BERSIH'

AL JAZEERA



BBC



CNN

Mahasiswa Perlu Menghayati Sepenuhnya Hari Integriti Negara

Tarikh 5 November merupakan salah satu daripada tarikh-tarikh terpenting dalam kalender Negara. Tarikh tersebut boleh diklasifikasikan sebagai ‘Hari mempertingkatkan Amanah’ kerana pada hari tersebutlah negara kita menyambut ‘Hari Integriti’.

Langkah kerajaan memperkenalkan ‘Hari Integriti’ sebagai hari sambutan tahunan negara adalah sangat signifikan sebagai usaha untuk memastikan masyarakat di Negara ini lebih memahami maksud dan keperluan integriti melalui Pelan Integriti Nasional (PIN) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2004 yang lalu.

Pada hari tersebut semua pihak tidak terkecuali untuk memanfaaatkan sepenuhnya peranannya dengan mengadakan sambutan yang meriah di pelbagai peringkat.Walaupun begitu, Universiti Malaya juga tidak ketinggalan dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti termasuklah Forum Integriti yang bertajuk ‘Integriti Pemacu Universitiku Cemerlang’ bertempat di Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian.

Ketika forum tersebut dijalankan, pelbagai idea dan pandangan yang bernas telah dikemukakan. Tambahan pula, keghairahan para hadirin dalam mengajukan pandangan dan persoalan pada sesi soal jawab menghangatkan lagi suasana dewan.

Dalam hal ini, saya amat bersetuju dengan pandangan Prof Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang juga merupakan salah seorang daripada ahli panel, berkaitan dengan penghayatan Integriti di kalangan mahasiswa. Menurut beliau, mahasiswa pada suatu ketika dahulu mempunyai nilai integriti yang sangat tinggi di samping memiliki idealisme perjuangan yang utuh serta sifat bertanggungjawab yang luhur untuk memajukan masyarakat dan Negara.

Sejarah telah membuktikan bagaimana mahasiswa suatu ketika dahulu mempunyai peranan yang sangat besar dalam membela nasib rakyat dan golongan marhaen sepertimana yang berlaku dalam peristiwa Telok Gong dan Baling pada era 70 an dahulu. Kegigihan mereka memperjuangkan kebajikan dalam sosio ekonomi masyarakat telah berjaya mencapai hasilnya serta mendapat respon yang baik daripada pihak kerajaan.

Di samping itu,semangat perjuangan yang bertunjangkan non partisan serta tidak menyebelahi mana-mana parti politik mengukuhkan lagi gerakan mereka sehingga menjadi suara ketiga terkuat selepas pemerintah dan pembangkang.

Walaubagaimanapun, semangat dan ciri-ciri mahasiswa yang kita inginkan ini semakin hari semakin pudar dan terus lenyap tanpa meninggalkan sebarang tanda. Rata-rata mahasiswa masa kini lebih mementingkan diri sendiri berbanding masyarakat dan Negara yang seharusnya perlu diberikan keutamaan. Sekiranya dibuat kajian mengenai jumlah peratusan mahasiswa di setiap IPT yang membaca akhbar pada setiap hari, maka sudah tentu keputusannya sangat mengecewakan.

Dalam pada itu, menurut kajian yang telah dilakukan oleh Institut Intigriti Malaysia (IIM), sebanyak 30 peratus mahasiswa di Negara ini sanggup menerima rasuah sekiranya diberikan jawatan yang tinggi. Berdasarkan kajian ini, kita tidak perlu terkejut apabila mendengar pelbagai isu rasuah dan sogokan yang membabitkan mahasiswa kita termasuklah isu ‘pengundi hantu’ sepertimana yang berlaku di Kolej Kediaman Kedua belas UM pada pilihanraya kampus yang lalu.

Pelbagai isu yang berlaku ini menampakkan lagi ketandusan mahasiswa dalam menyemai sifat amanah dan jujur dalam diri sendiri. Mengapakah semua perkara ini berlaku? Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku sama sekali memandangkan mahasiswa merupakan golongan terpelajar serta ‘dibesarkan’ dalam institusi yang sarat dengan pemikiran yang intelek dan penuh dengan budaya keilmuan yang tinggi.

Seharusnya kita perlu sedar bahawasanya Mahasiswa merupakan pemimpin Negara pada masa akan datang. Adakah kita mahu melihat suatu masa nanti Negara kita dipimpin oleh golongan yang tidak mempunyai integriti serta mudah menerima sogokan dan rasuah daripada pihak-pihak tertentu?

Oleh yang demikian seruan kerajaan dan Perdana Menteri untuk meningkatkan tahap integriti di kalangan rakyat Negara ini seharusnya disambut baik oleh semua pihak. Kita juga seharusnya mengenepikan segala bentuk ideologi dan perbezaan fahaman politik untuk memastikan pelan ini benar-benar berjaya mencapai objektifnya serta tidak hanya menjadi impian semata-mata.

'Mahasiswa harapan Negara'


AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ

AHLI MAJLIS TERTINGGI
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA (MPMUM)

"PMIUM UNTUK SEMUA" draft by Shahir 11/6/07 Delete

1 – 5 of 10 Older ›

Politik Lesu Mahasiswa Malaysia

Interview Zainudin Maidin - Al Jazeera

Friday, September 21, 2007

Sambutan Kemerdekaan Negara Ke-50: Adakah Wanita Akan Memimpin Lelaki?

Sejarah peradaban dunia menyaksikan kepada umum bahawa perjuangan manusia di dunia ini sama ada dalam usaha menuntut kebebasan atau mewujudkan sistem pemerintahan yang bersifat konservatif tidak pernah sepi daripada keterlibatan golongan wanita.

Lampiran sejarah-sejarah silam membuktikan kepada kita bahawa golongan wanita turut memainkan peranan yencorakkan dunia. Mereka juga mempunyai keinginan dan kayakinan yang tinggi berhubung perkara ini.

Antaranya sekiranya kita masih ingat ialah tokoh-tokoh seperti Edith Cresson, Margaret Thatcher dan Maideline Albright.Begitu juga halnya yang berlaku di nagara-negara umat Islam seperti Zainab Al-Ghazali di Mesir dan Benazir Butto di Pakistan yang pernah memegang jawatan tertinggi Negara itu .

Dalam pada itu, kemunculan ‘wanita besi’ pada zaman kini juga tidak kurang hebatnya.

Antaranya, Condoleeza Rice yang dilantik oleh Presiden George W. Bush sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat, pejuang prodemokrasi di Myanmar, Ann San Syuki dan Megawati Sukarnoputri yang pernah menjadi Presiden Republik Indonesia sebelum tewas kepada gandingan baru Sosilo Bambang Yudhoyono-Yusuf Kalla pada Pemilihan Umum 2004.

Walaubagaimanapun Filipina masih berjaya mengekalkan ‘kepimpinan wanitanya’ apabila Presiden Macapagal Arroyo berjaya mengekalkan kemenangannya pada pilihanraya umum yang lalu walaupun dengan majoriti undi yang tipis.

Namun begitu, Jerman telah memasuki era baru dan berjaya melakar sejarahnya yang tersendiri apabila Angela Merkel berjaya menjadi Canselor wanita pertama. Beliau yang merupakan anak paderi yang dibesarkan di Jerman Timur mengetuai Parti Kristian Demokrat (CDU) menewaskan Parti Sosial Demokrat (SPD) di bawah pimpinan Gerhard Schroeder yang juga merupakan bekas Canselor Negara itu dengan kelebihan empat kerusi.

Sumber televisyen Jerman, ZDF memberitahu bahawa dengan kelebihan empat kerusi itu sebenarnya masih tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Lantaran daripada itu, Merkel dan sekutunya dari Parti Kesatuan Sosial Kristian (CSU) yang diterajui Edmund Stoiber bersetuju unutuk mengadakan perjanjian dengan parti SPD untuk membentuk kerajaan campuran.

Walaubagaimanapun, dalam kita meneliti sejarah-sejarah terdahulu disamping tidak mengabaikan isu-isu semasa, pernahkah kita terfikir khususnya bagi golongan lelaki apakah masa depan golongan lelaki kelak? Adakah dunia ini akan dipimpin golongan wanita suatu hari nanti?

Adakah suatu masa nanti jawatan Perdana Menteri Negara akan diisi oleh kaum wanita?....lantaran daripada sikap kita sendiri yang tidak mahu berubah dan berfikiran futuristik dalam menjadikan masyarakat kita masyarakat yang ‘glokal’ serta mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia…???

Selain itu kita juga sering melihat di media massa tentang kejayaan dan kemampuan golongan wanita dalam pelbagai perkara. Antaranya jumlah kemasukan mereka ke IPTA tempatan yang lebih ramai daripada golongan lelaki dan kejayaan Siti Amalina dalam menempa sejarah baru pendidikan Negara dengan mencapai 17 A dalam SPM.

Disamping itu perlantikan Datuk Rafiah salim sebagai wanita pertama menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 2006 serta kejayaan Datuk Paduka Sharifah Mazlina menawan Kutub Utara menmbahkan lagi koleksi kejayaan wanita dalam mengukir sejarah negara.

Golongan lelaki khususnya belia sepertimana yang dikatakan oleh Pemimpin Ulung Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna sebagai ‘Rijalud Dakwah’ iaitu ‘golongan yang membawa perubahan’ harus menghargai keistimewaan dan kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada mereka selaku Khalifah Allah di muka bumi ini.

Dalam pada itu mereka juga harus menghargai masa dengan mengisinya ke arah mempertingkatkan kredibiliti, keintelektualan dan profesionalisme diri. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh ahli sasterawan Inggeris, Rudyard Kipling dalam puisinya, ‘If you can fill the unforgiving minute’ memberi mesej kepada kita tentang peri pentingnya menghargai masa.

Oleh yang demikian, tindakan menyekat atau menyalahkan kaum hawa adalah tidak wajar kerana secara fitrahnya manusia akan berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan mereka.

Justeru, kaum adamlah yang sepatutnya menyedari hakikat ini dan berusaha untuk kembali mengukir nama dan mencapai kejayaan yang terbaik dalam kehidupan mereka.Bangunlah dan sedarlah bahawa kita sebenarnya memegang amanah dan tanggungjawab yang besar dalam mencorakkan masyarakat dan Negara ini.

Ayuh! Marilah bersama melakukan perubahan dan reformasi dalam diri kita daripada cenderung untuk terlibat dengan perkara-perkara yang negatif seperti budaya gangsterisme, memonteng kelas pengajian dan menderhakai perintah Allah s.w.t dan ibu bapa.

Sebaliknya marilah kita menjulang kembali budaya-budaya yang positif dan budi pekerti yang mulia, merapatkan ukhuwah persaudaraan serta berganding bahu dan bekerjasama antara kaum lelaki dan perempuan sejajar dengan tuntutan Agama dalam usaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan akhirat….!!!

AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
Exco Akademik & Intelektual
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam' Universiti Malaya (PMAPIUM)

Saturday, August 4, 2007

Kesedaran Politik Di Kalangan Rakyat Kurang

Setiap rakyat seharusnya menyedari tanggungjawab yang perlu dimainkan kepada Negara.

Tanggungjawab dan hak partisipasi yang diberikan kepada mereka untuk memilih kerajaan dalam tempoh setiap lima tahun melalui pengundian seharusnya digunakan sebaiknya sebagai bukti rasa tanggungjawab dan sayangkan Negara di samping meneruskan tradisi pemilihan pemimpin berpaksikan sistem demokrasi yang telah diamalkan hampir 50 tahun di Negara ini.

Walaubagaimanapun, kesedaran dan kefahaman sebilangan besar rakyat kita khususnya golongan muda mengenai tanggungjawab ini adalah kurang memuaskan berdasarkan statistik yang telah didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengarahnya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada bulan lalu ketika melancarkan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih Peringkat Negeri di Terengganu.

Menurut beliau, Sebanyak 4.82 juta daripada 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar dengan SPR. Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 700,000 orang diikuti Johor (600,000 orang), Sarawak (360,000 orang), Kuala Lumpur (300,000 orang), Kedah (285,000 orang), Kelantan (200,000 orang) dan Terengganu (75,000 orang).

Dalam pada itu, kuasa pemilihan kabinet dan pemimpin di peringkat menara gading sewajarnya mendapat perhatian dan diambil berat oleh para pelajar. Ini kerana menerusi pemilihan tersebut, para pelajar berkesempatan untuk membuat penilaian yang terbaik bagi memilih pemimpin yang benar-benar menjaga kebajikan mereka, bukannya yang diistilahkan sebagai ‘goyang kaki’ dan hanya menjaga kepentingan diri semata-mata.

Menerusi Pilihan Raya Kampus yang diadakan pada setiap tahun juga merupakan medan terbaik kepada para pelajar untuk membentuk sosialisasi politik mereka di samping berpotensi melahirkan pemimpin yang unggul serta mempunyai idealisme yang tinggi dalam mendokong aspirasi perjuangan mahasiswa.

Dengan adanya idealisme yang tinggi di samping memiliki kepimpinan yang dinamik dan dominan dalam menggagaskan ‘gagasan mahasiswa’ berkeupayaan membentuk jati diri yang murni dalam usaha untuk menjadi generasi penerus kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Kepimpinan yang berani serta jauh dari budaya ‘mengampu’ sememangnya menjadi ikon kepada semua pelajar. Antara tokoh-tokoh pemimpin yang lahir melalui gagasan dan medium ini ketika bergelar ‘mahasiswa’ ialah seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Datuk Dr. Fuad Zarkashi, Datuk Seri Annuar Musa, Datuk Dr. Siddiq Fadhil, Datuk Paduka Husam Musa, Datuk Ahmad Shabery Chik, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Abdul Aziz Shamsudin dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kesedaran mengenai kepentingan politik dan Pilihanraya sama ada diperingkat nasional mahupun kampus seharusnya dicungkil untuk melahirkan masyarakat yang peka dan sensitif dalam setiap isu dan masalah yang berlaku dalam dan luar Negara.

Masyarakat bermaruah bemula dari anda. Justeru, tunaikanlah tanggungjawab anda sebaiknya dengan memilih pucuk pimpinan yang benar-benar berkemampuan untuk membawa agenda perubahan dan pembangunan serta menjaga dan menitikberatkan keadilan sosial rakyat seluruhnya.

Gunakanlah ruang dan kesempatan yang ada dengan sebaiknya demi menjamin kewujudan masyarakat Malaysia yang adil, harmoni dan saksama. ‘Keranamu Malaysia ’


AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMBANGUNAN AKADEMIK & INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA (PMAPIUM)