Friday, September 21, 2007

Sambutan Kemerdekaan Negara Ke-50: Adakah Wanita Akan Memimpin Lelaki?

Sejarah peradaban dunia menyaksikan kepada umum bahawa perjuangan manusia di dunia ini sama ada dalam usaha menuntut kebebasan atau mewujudkan sistem pemerintahan yang bersifat konservatif tidak pernah sepi daripada keterlibatan golongan wanita.

Lampiran sejarah-sejarah silam membuktikan kepada kita bahawa golongan wanita turut memainkan peranan yencorakkan dunia. Mereka juga mempunyai keinginan dan kayakinan yang tinggi berhubung perkara ini.

Antaranya sekiranya kita masih ingat ialah tokoh-tokoh seperti Edith Cresson, Margaret Thatcher dan Maideline Albright.Begitu juga halnya yang berlaku di nagara-negara umat Islam seperti Zainab Al-Ghazali di Mesir dan Benazir Butto di Pakistan yang pernah memegang jawatan tertinggi Negara itu .

Dalam pada itu, kemunculan ‘wanita besi’ pada zaman kini juga tidak kurang hebatnya.

Antaranya, Condoleeza Rice yang dilantik oleh Presiden George W. Bush sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat, pejuang prodemokrasi di Myanmar, Ann San Syuki dan Megawati Sukarnoputri yang pernah menjadi Presiden Republik Indonesia sebelum tewas kepada gandingan baru Sosilo Bambang Yudhoyono-Yusuf Kalla pada Pemilihan Umum 2004.

Walaubagaimanapun Filipina masih berjaya mengekalkan ‘kepimpinan wanitanya’ apabila Presiden Macapagal Arroyo berjaya mengekalkan kemenangannya pada pilihanraya umum yang lalu walaupun dengan majoriti undi yang tipis.

Namun begitu, Jerman telah memasuki era baru dan berjaya melakar sejarahnya yang tersendiri apabila Angela Merkel berjaya menjadi Canselor wanita pertama. Beliau yang merupakan anak paderi yang dibesarkan di Jerman Timur mengetuai Parti Kristian Demokrat (CDU) menewaskan Parti Sosial Demokrat (SPD) di bawah pimpinan Gerhard Schroeder yang juga merupakan bekas Canselor Negara itu dengan kelebihan empat kerusi.

Sumber televisyen Jerman, ZDF memberitahu bahawa dengan kelebihan empat kerusi itu sebenarnya masih tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Lantaran daripada itu, Merkel dan sekutunya dari Parti Kesatuan Sosial Kristian (CSU) yang diterajui Edmund Stoiber bersetuju unutuk mengadakan perjanjian dengan parti SPD untuk membentuk kerajaan campuran.

Walaubagaimanapun, dalam kita meneliti sejarah-sejarah terdahulu disamping tidak mengabaikan isu-isu semasa, pernahkah kita terfikir khususnya bagi golongan lelaki apakah masa depan golongan lelaki kelak? Adakah dunia ini akan dipimpin golongan wanita suatu hari nanti?

Adakah suatu masa nanti jawatan Perdana Menteri Negara akan diisi oleh kaum wanita?....lantaran daripada sikap kita sendiri yang tidak mahu berubah dan berfikiran futuristik dalam menjadikan masyarakat kita masyarakat yang ‘glokal’ serta mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia…???

Selain itu kita juga sering melihat di media massa tentang kejayaan dan kemampuan golongan wanita dalam pelbagai perkara. Antaranya jumlah kemasukan mereka ke IPTA tempatan yang lebih ramai daripada golongan lelaki dan kejayaan Siti Amalina dalam menempa sejarah baru pendidikan Negara dengan mencapai 17 A dalam SPM.

Disamping itu perlantikan Datuk Rafiah salim sebagai wanita pertama menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 2006 serta kejayaan Datuk Paduka Sharifah Mazlina menawan Kutub Utara menmbahkan lagi koleksi kejayaan wanita dalam mengukir sejarah negara.

Golongan lelaki khususnya belia sepertimana yang dikatakan oleh Pemimpin Ulung Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna sebagai ‘Rijalud Dakwah’ iaitu ‘golongan yang membawa perubahan’ harus menghargai keistimewaan dan kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada mereka selaku Khalifah Allah di muka bumi ini.

Dalam pada itu mereka juga harus menghargai masa dengan mengisinya ke arah mempertingkatkan kredibiliti, keintelektualan dan profesionalisme diri. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh ahli sasterawan Inggeris, Rudyard Kipling dalam puisinya, ‘If you can fill the unforgiving minute’ memberi mesej kepada kita tentang peri pentingnya menghargai masa.

Oleh yang demikian, tindakan menyekat atau menyalahkan kaum hawa adalah tidak wajar kerana secara fitrahnya manusia akan berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan mereka.

Justeru, kaum adamlah yang sepatutnya menyedari hakikat ini dan berusaha untuk kembali mengukir nama dan mencapai kejayaan yang terbaik dalam kehidupan mereka.Bangunlah dan sedarlah bahawa kita sebenarnya memegang amanah dan tanggungjawab yang besar dalam mencorakkan masyarakat dan Negara ini.

Ayuh! Marilah bersama melakukan perubahan dan reformasi dalam diri kita daripada cenderung untuk terlibat dengan perkara-perkara yang negatif seperti budaya gangsterisme, memonteng kelas pengajian dan menderhakai perintah Allah s.w.t dan ibu bapa.

Sebaliknya marilah kita menjulang kembali budaya-budaya yang positif dan budi pekerti yang mulia, merapatkan ukhuwah persaudaraan serta berganding bahu dan bekerjasama antara kaum lelaki dan perempuan sejajar dengan tuntutan Agama dalam usaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan akhirat….!!!

AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
Exco Akademik & Intelektual
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam' Universiti Malaya (PMAPIUM)

No comments: