Oleh: Ahmad Shahir Abdul Aziz
1. Tunku Abdul Rahman (2007) 13 MEI: Sebelum dan Selepas, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd
Berdasarkan buku ini, penulis menceritakan pandangan peribadi beliau mengenai peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang berlaku sepanjang kehidupannya sebagai seorang Perdana Menteri pada ketika itu.
Dalam penulisan beliau, beliau menjelaskan bahawa antara faktor utama berlakunya kejadian tersebut adalah rentetan daripada wujudnya golongan penghasut daripada golongan komunis yang mahu memporakperandakan Negara. Golongan ini juga menurut beliau merupakan golongan chauvinist dan gemar mengapi-apikan semangat Mao Zedong dan komunisme di kalangan masyarakat cina.
Dalam pada itu, orang melayu pula pada ketika itu menurut penulis mudah terpengaruh dengan dakyah yang dibawa oleh PAS yang sentiasa memainkan sentimen orang melayu. PAS pada ketika itu menjalankan kempennya yang boleh diertikan sebagai bertujuan mahu mengambil kuasa Negara ini untuk orang Melayu sahaja. Meskipun PAS mengakui kewujudan bangsa lain di Negara ini, namun mereka ini tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan Negara ataupun diberikan sebarang hak dalam Negara ini.
Hasil daripada sentimen yang dimainkan oleh parti pembangkang menyebabkan Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) kurang mendapat sambutan dalam pilihanraya umum yang telah berlangsung pada 10 Mei 1969. Menurut penulis lagi rusuhan kaum yang berlaku pada tanggal 13 Mei adalah berpunca daripada golongan chauvinist terutamanya daripada Parti Buruh yang telah mengadakan perarakan. Perarakan mayat yang dianjurkan oleh komunis pada hari jumaat dan sambutan ‘kemenangan’ yang dianjurkan oleh Parti Gerakan dan DAP pada hari isnin (11 Mei) merupakan dua kejadian yang bahaya dan seterusnya mencetuskan kekacauan yang buruk di bandaraya Kuala Lumpur.
Selain itu, penulis turut mengemukan persoalan mengenai kebangkitan golongan muda dalam UMNO sendiri yang menggelarkan diri mereka sebagai golongan cerdik pandai (intelektual) yang mahu menggulingkan pentadbiran beliau. Gerakan ini telah diketuai oleh Tun Dr. Mahathir sendiri yang pada ketika itu telah menghantar sepucuk surat kepada beliau pada tanggal 17 Jun 1969 mendesak beliau untuk meletak jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
2. Joe Conceicao (2007) Singapore and The Many-Headed Monster, Singapore: Horizon Books Pte Ltd
Melaui pembacaan buku ini, penulis menggunakan level bahasa inggeris yang mudah untuk difahami oleh pembaca. Dalam penulisannya, penulis menceritakan isu-isu yang berkaitan dengan rusuhan dan perbalahan yang berlaku di Negara Singapura. Dengan erti kata yang lain, skop penulisan penulis adalah berkenaan isu rusuhan yang berlaku pada tahun 1950, 1964 dan 1969.
Pada tahun 1950, isu yang berlaku pada ketika itu adalah isu murtad yang melibatkan seorang anak gadis yang bernama Maria Hertogh atau lebih dikenali sebagai Nadra. Isu tersebut telah menaikkan kemarahan orang melayu di Singapura sehingga mencetuskan huru hara yang begitu dahsyat.
Pada tahun 1964 pula, rusuhan berlaku rentetan daripada rasa tidak puas hati orang Melayu ke atas kerajaan Singapura yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew. Gerakan ini telah diketuai oleh Syed Ja’far Albar yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO pada ketika itu. Gerakan ini bermula ketika perhimpunan orang Melayu sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada 21 Julai 1964 di Padang, Singapura.
Pada tahun 1969 pula, menurut penulis rusuhan kaum bermula di Kuala Lumpur selepas berlangsungnya pilihanraya umum Negara keempat pada 10 Mei 1969. Tragedi ini walaupun berlaku di Malaysia, namun tempiasnya turut dirasai oleh rakyat Singapura yang turut mencetuskan ketegangan di Negara tersebut.
3. Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (Terj.) Ibrahim Bin Saad (2003), Singapura: Marshall Cavendish Editions
Buku ini dianggap penting kerana penulis mendedahkan secara terbuka masalah harmoni antara kaum di Malaysia, di mana lebih kurang separuh daripada jumlah penduduknya terdiri daripada orang-orang bukan Melayu dan separuh lagi orang Melayu.
Dalam pada itu, penulis juga cuba memberikan tafsiran beliau mengenai pendapat orang Melayu. Beliau berhak berbuat demikian walaupun bukan semua orang Melayu akan bersetuju dengan pendapatnya itu.
Buku ini antara lain cuba menerangkan sebab-sebab berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, cuba menerangkan sebab-sebab mengapa orang Melayu mundur dari segi ekonomi, cuba menjelaskan mengapa orang Melayu merasa perlu menuntut supaya pendatang-pendatang yang menjadi rakyat Malaysia perlu bertutur hanya dalam bahasa Melayu, iaitu sepertimana pendatang-pendatang di Australia bertutur dalam bahasa Inggeris, atau seperti pendatang-pendatang di Amerika yang bertutur hanya dalam bahasa ‘penduduk tetap’, begitulah istilah yang digunakan oleh pengarang buku ini.
Penulis juga telah mengemukakan pendapat bahawa orang Melayu adalah pemilik Tanah Melayu yang sah. Menurut beliau lagi, pendatang-pendatang adalah tetamu sehinggalah mereka itu diserapkan sepenuhnya. Beliau menegaskan bahawa golongan pendatang tidak boleh dianggap telah diserap sepenuhnya sehinggalah mereka sudah mengenepikan bahasa dan kebudayaan mereka dahulu.
Penulis juga agak pesimistis terhadap masa depan. Beliau percaya tidaklah mustahil sekiranya “akhir-akhirnya kuasa politik akan menyebabkan kejatuhan orang Melayu sepenuhnya”. Dalam pada itu, beliau menganggap bahawa dengan memansuhkan semua perlindungan ke atas orang-orang Melayu akan menyebabkan orang Melayu menghadapi semula hukum primitif yang hanya membolehkan orang-orang yang paling kuat dapat terus hidup.
Penyelesaian yang disarankan oleh beliau ialah melalui suatu 'perlindungan yang membina', digubal setelah suatu kajian teliti dijalankan ke atas kesan-kesan keturunan dan alam sekitar. Beliau menyatakan bahawa selagi langkah ini tidak diambil, maka kesan buruk ke atas keturunan dan alam sekitar orang Melayu akan terus berlaku
4. Kua Kia Soong (2007) MAY 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, Kuala Lumpur: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Melalui pembacaan buku ini, penulis menggunakan level bahasa Inggeris yang agak tinggi dalam menyampaikan pandangannya. Melalui pembacaan yang dibuat, dapat dirumuskan bahawa penulis mengemukakan fakta dan pandangan baru yang sangat jauh berbeza dengan fakta dan hujah yang telah dikemukan oleh penulis-penulis sebelum ini dalam menceritakan peristiwa 13 Mei 1969.
Pandangan penulis telah mencetuskan kontroversi dan ‘sejarah baru’ khususnya berkaitan faktor atau punca sebenar berlakunya peristiwa hitam tersebut.
Kua Kia Soong, seorang ahli sains sosial, memberi kita satu analisis politik baru tentang "Peristiwa 13 Mei" ini. Pada pandangan beliau, rusuhan tersebut tentu sekali bukan satu ledakan keganasan spontan antara orang Melayu dan Cina, malah ia adalah satu pakatan yang dirancangkan oleh kelas pemerintah kapitalis menentang kelas aristokrat yang dipimpini Tunku. Beliau membincangkan percanggahan formula perkauman Perikatan pasca-Merdeka dan menyusur-galur kebangkitan kelas kapitalis Melayu baru yang memerintah Malaysia sejak 1969 ini.
Menurut penulis lagi, gerakan yang mahu menjatuhkan kepimpinan Tunku adalah diketuai oleh timbalan beliau sendiri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak serta rakan-rakannya yang lain seperti Dato’ Ghazali Sopiee, dan Dato’ Haron Idris.
Dalam pada itu, penulis juga telah mengemukakan beberapa pandangan peribadi yang mewakili kaum minoriti di Negara ini berkenaan rasa ketidakpuasan hati mereka mengenai sistem perundangan dan ekonomi di Negara yang dilihat berat sebelah dan tidak adil.
Dokumen-dokumen ini jelasnya menunjukkan sipakah yang bertanggungjawab atas keganasan tersebut dan mengemukakan persoalan mengapa pasukan-pasukan keselamatan boleh membenarkan keganasan berlanjutan. Dengan penerbitan buku ini, diharap "hantu 13 Mei" yang sering kali dibangkitkan oleh kerajaan Barisan Nasional akan dihalau dan tidak kembali buat selama-lamanya.
Menurut beliau lagi, dengan wujudnya kepincangan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan masalah ‘perebutan’ mayat antara orang Islam dan bukan Islam sejak kebelakangan ini perlu diatasi segera oleh kerajaan dengan melaksanakan formula baru yang memberikan hak yang sama rata kepada semua kaum dan agama di Negara ini.
5. Leon Comber, Peristiwa 13 MEI: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina, (Terj.) Omardin Haji Ashaari (2007), Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd
Berdasarkan pembacaan yang dibuat, suatu penilaian yang jelas boleh dibuat iaitu penulis telah mengemukakan suatu penjelasan mengenai sejarah dan peristiwa 13 Mei 1969 secara terbuka dan disusuli kajian akademik dan fakta yang jelas.
Kronologi peristiwa yang diterangkan penulis juga adalah sistematik dengan menyatakan beberapa faktor pendesak yang menyebabkan berlakunya peristiwa tersebut. Menurut beliau, ketidakseimbangan dari sudut ekonomi yang berlaku sejak daripada zaman penjajahan lagi telah menyebabkan golongan yang tertindas sekian lama terus menerus menyimpan perasaan tidak puas hati terutamanya kepada kaum pendatang yang hidup kaya raya di tanah tumpah darah mereka sendiri.
Seterusnya, penulis juga telah mengemukan bebeapa tindakan susulan yang telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini dengan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diterajui oleh Perdana Menteri Kedua iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin.
Setiap pandangan dan fakta yang diceritakan oleh penulis juga adalah mencakupi setiap aspek dan berbentuk komprehensif serta sesuai untuk dijadikan panduan kerana penjelasan yang dibuat oleh penulis adalah tepat dan adil.
KESIMPULAN/RUMUSAN
Setelah dianalisis kelima-lima buku tersebut, maka kita dapat menyaksikan pelbagai pandangan dan lontaran idea yang berbeza mengenai tragedi 13 Mei 1969 di Negara ini.
Berdasarkan buku yang ditulis oleh Tunku Abdul Rahman, suatu rumusan boleh dibuat bahawa penerangan beliau mengenai peristiwa tersebut boleh dikatakan lebih bersifat peribadi berdasarkan apa yang disaksikannya. Pendapatnya juga boleh dikatakan lebih untuk mempertahankan kepimpinan dan kerajaannya pada ketika itu. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa pandangan beliau yang boleh diterima seperti usaha golongan komunis yang cuba melebarkan pengaruhnya di Malaysia.
Dalam pada itu, buku yang dikarang oleh Joe Conceicao pula lebih banyak menceritakan tentang beberapa insiden dan rusuhan di Singapura dan kesan peristiwa 13 Mei ke atas negaranya.
Selain itu, buku yang ditulis oleh Tun Dr. Mahathir pula boleh dikatakan tidak semua ahli sejarah yang akan bersetuju dengan tafsiran beliau kerana penulisannya bukanlah suatu kajian yang objektif. Bagaimanapun, buku ini sesuai untuk dijadikan panduan kerana ia mencerminkan cara pemikiran dan kepercayaan orang Melayu yang moden, berpelajaran dan progresif.
Buku ini juga merupakan reaksi beliau terhadap masalah-masalah masa kini, iaitu masalah paling pokok yang dihadapi oleh Malaysia. Beginilah pemahaman orang Melayu yang cenderung kepada politik masa lampau, menerangkan tingkah laku kaumnya sendiri dan tingkah laku pendatang-pendatang dan melihat keadaan masa depan.
Di samping itu, buku yang ditulis oleh Dr. Kua pula jauh berbeza dengan buku yang dikarang oleh Leon Comber. Buku yang ditulis oleh beliau telah mencetuskan kontroversi apabila beliau mengatakan bahawa peristiwa 13 Mei ini adalah suatu perancangan mendalam yang diketuai oleh Tun Abdul Razak untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Walaubagaimanapun, buku yang ditulis oleh Leon pula adalah lebih bersifat sederhana dan tidak bias kepada mana-mana pihak.
Penulisannya juga adalah teliti dan mencakupi fakta-fakta sebelum, ketika dan selepas tragedi tersebut dan sesuai untuk dijadikan panduan umum.
BIBLIOGRAFI
1. Tunku Abdul Rahman, 2007. 13 MEI: Sebelum dan Selepas. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd
2. Joe Conceicao, 2007. Singapore and The Many-Headed Monster. Singapore:
Horizon Books Pte Ltd
3. Mahathir Bin Mohamad, Dilema Melayu, (Terj.) Ibrahim Bin Saad (2003),
Singapura: Marshall Cavendish Editions
4. Kua Kia Soong, 2007. MAY 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots
of 1969, Kuala Lumpur: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
5. Leon Comber, Peristiwa 13 MEI: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina, (Terj.)
Omardin Haji Ashaari (2007), Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd
Disediakan oleh:
AHMAD SHAHIR BIN ABDUL AZIZ
Jurucakap,
Pro Mahasiswa Universiti Malaya
Monday, March 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bagaimana tindakan kerajaan untuk memulihkan perpaduan Negara dan mencegah dari berulangnya peristiwa hitam ini ??
Post a Comment